PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan lesen operasi syarikat keselamatan yang bertanggungjawab untuk mengambil pengawal yang menembak mati seorang pegawai bank dalam satu kejadian rompakan di Selangor pada Rabu.
Syarikat keselamatan swasta terbabit didapati telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, kata Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim.
Beliau berkata, firma keselamatan itu tidak menjalankan pemeriksaan keselamatan terhadap pengawal yang akan bertugas. “Syarikat itu mempunyai lesen senjata api tetapi anggota keselamatan yang akan diambil bertugas itu perlu mendapat kelulusan melalui semakan pihak polis, termasuk tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah dan dilatih untuk mengendalikan senjata api. “Kita telah membuat keputusan untuk membatalkan lesen (syarikat keselamatan) mereka berkuat kuasa serta-merta dan kita dalam proses mempergiatkan pemantauan terhadap syarikat keselamatan berhubung penggunaan senjata api,” kata Alwi pada sidang media di sini, Khamis.
No comments:
Post a Comment