KUALA LUMPUR - “Tolonglah pulang ke rumah Rohani. Tiap-tiap hari mak kamu menangis kerana risaukan kamu,” rintih Muhammad Abdullah, ayah kepada Rohani Muhammad, 16.
Rohani menghilang ketika ayahnya hendak menjemput selepas tamat waktu persekolahan pada 13 September lalu di Tanjung Malim, Perak.
Muhammad, 46, berkata, kebiasaannya, setiap hari dia menghantar dan menjemput pulang Rohani dari sekolah, namun pada hari kejadian, dia terkejut apabila anaknya tiada ketika mahu menjemputnya.
“Melihat anak saya tiada, saya mencarinya di sekitar Tanjung Malim dan Behrang,” katanya ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, semalam.
Menurut Muhammad, dia berjumpa guru kelas anaknya dan terkejut apabila mengetahui anaknya kerap kali ponteng sekolah sejak empat bulan yang lalu.
Bimbang anaknya dilarikan, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim hari yang sama.
Muhammad percaya Rohani sudah merancang melarikan diri kerana beberapa pakaian Rohani tiada di biliknya.
“Saya dapati anak saya membawa sehelai T-shirt, sehelai seluar jean dan sebuah komputer riba. Selain itu, Rohani ada mengambil telefon bimbit emaknya,” katanya.
Menurutnya, dia cuba menghubungi telefon bimbit isterinya, Fatimah Abdullah tetapi gagal dihubungi.
Muhammad berkata, Fatimah, 36, ada menghubungi sepupunya di Setiawan, Perak untuk memintanya mencari Rohani dan sepupu Fatimah memberitahu, Rohani ada hubunginya menggunakan nombor baru.
“Anak saya beritahu dia tinggal di rumah kakak rakannya di Putrajaya dan akan pulang ke rumah empat hari lagi,” katanya.
Namun, Muhammad berkata, Rohani tidak pulang ke rumah hingga sekarang dan dia cuba menghubungi anaknya tetapi panggilannya tidak diangkat.
Katanya, dia ada ke sekolah beberapa kali untuk melihat kedatangan rakan Rohani, juga rakan sekelasnya yang dikenali sebagai Divahshini.
“Guru kelasnya memberitahu yang Divashini juga tidak hadir ke sekolah semenjak anak saya lari dari sekolah,” katanya.
Muhammad berharap Rohani berada dalam keadaan selamat dan merayu agar segera pulang ke rumah.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubungi pihaknya di 019-3945871 atau balai polis berdekatan.
bdak2 skrang ni memang maslah..bangang tak dah!!!
ReplyDelete