Friday, 15 March 2013

Selangor-1,888 ibu bapa fail saman




SHAH ALAM - Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
 
Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Sarina Hashim, 35.
 
Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.
 
Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.
 
Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Sarina ketika ditemui pemberita berkata kerajaan negeri sepatutnya menunaikan janji dengan memberikan elaun itu kerana ia serba sedikit dapat membantu dua anaknya berumur lima dan enam tahun yang masih belajar di peringkat prasekolah.
 
"Kalau ikutkan, kedua-dua anak saya ini yang belajar di Tadika Kemas sepatutnya mendapat bantuan prasekolah sebanyak RM35 setiap seorang setiap bulan," katanya yang berasal dari Gombak.
 
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata kerajaan pakatan pembangkang Selangor yang mengeluarkan manifesto berhubung pemberian bantuan itu wajar menunaikan janji sebaik sahaja memenangi pilihan raya umum yang lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment