Monday, 25 March 2013

Lidah bercabang GUAN ENG


 PULAU PINANG, 25 Mac – Alasan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenakan bayaran tol bagi terowong dasar laut yang mahu dibinanya adalah tidak masuk akal, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

Jelas beliau, sejak dahulu Guan Eng sering bertindak dahulu dan berfikir kemudian dengan tidak memikirkan impak daripada percakapan atau kenyataan yang dibuatnya, maka jika sudah terperangkap akan menyalahkan Kerajaan Pusat dan UMNO sebagai solusinya keluar daripada masalah.

“Dari dahulu kerja Guan Eng hanya salahkan kerajaan dan UMNO. Dia sendiri sebenarnya yang suka cakap berbelit-belit. Dulu sebelum dapat memerintah di Pulau Pinang janji akan hapuskan tol Sungai Nyior tapi sampai sekarang kita masih bayar lagi di tol ini.

“Bila ditanya jawapannya tol terbabit di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat. Kini, bila nak bina terowong dasar laut dan dikenakan tol maka bagi alasan takut dituduh sabotaj projek kerjaan Pusat. Walaupun ramai yang membantah projek ini namun Guan Eng tetap teruskan juga.

“Sebenarnya, alasan utama mengapa Guang Eng tetap mahu teruskan projek ini adalah kerana agenda utamanya ialah menjual tanah. Dulu tanah di Bayan Mutiara sehinggakan tapak masjid dan sekolah turut menjadi mangsa.

“Kemudian tanah di Taman Manggis pula dijual pada harga lebih RM1 billion sedangkan tanah ini adalah kawasan perancangan untuk pembinaan rumah mampu milik dan terkini dasar laut pula menjadi mangsa,” ujar Zainal Abidin.

Tambah beliau, walaupun projek ini merupakan pembaziran wang rakyat paling besar dan akan mengakibatkan nelayan bakal hilang mata pencarian namun kerana tamak maka ia tetap diteruskan.

“Tidak hairanlah mengapa 10,000 orang pelbagai bangsa boleh berhimpun dan membantah pentadbiran DAP kerana selama lima tahun mentadbir negeri ini, DAP gagal melaksanakan tanggungjawab dan menyebabkan kehidupan rakyat semakin terhimpit.

“Daripada membazir wang berbillion ringgit untuk membina terowong ini adalah lebih baik Guan Eng bina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Seperkara lagi yang boleh dipertikaikan adalah mengapa umumkan projek ini secara tergesa-gesa ketika pilihan raya sudah terlalu hampir. Ini semua adalah agenda politik kotor DAP yang hanya mementingkan diri mereka dan menjadikan rakyat sebagai korban,” terangnya lagi.

Guan Eng baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion itu menghubungkan Gurney Drive di pulau ini dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar atas alasan bertujuan mengurangkan kesesakan serta menambah pendapatan negeri. – MediaUMNO.

No comments:

Post a Comment