Thursday, 14 February 2013

Tarikh keramat 14FEB

 
Hari ini adalah tarikh Syahidnya Leftenan Adnan dalam mempertahankan negara kita. Genaplah 71 tahun negara kita kehilangan seorang wira. Al-fatihah untuk Leftenan Adnan.
 Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk granet dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.di dalam keadaan kacau bilau pertempuran, tubuh Korporal Yaakob(satu-satunya yang selamat) jatuh di atas timbunan mayat rakan-rakan seperjuangannya yang telah mati ditembak tentera Jepun. Beberapa detik sebelum itu dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Leftenan Adnan dari Rejimen Askar Melayu berserta beberapa orang anak-anak buahnya yang lain akhirnya berjaya ditawan Jepun. Leftenan Adnan berusia 27 tahun ketika kejadian ini berlaku...Sejak pagi semalam lagi tentera Jepun telah menumpukan serangan bedilan bom, mortar berat dan bedilan meriam ke kawasan Pasir Panjang kerana mereka tahu, inilah kawasan terakhir yang perlu mereka tawan sebelum Singapura jatuh ke tangan mereka. Pihak British mempertahankan kawasan secara habis-habisan kerana kawasan tanah tinggi ini menghadap ke arah utara Singapura serta merupakan jalan ke arah Alexandra di mana letaknya depot senjata serta hospital tentera, serta kepentingan lain milik British.


Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun di bawah pemerintahan Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah diperintahkan untuk menghadapi 'C' Coy. 'C' Coy merupakan sebuah pasukan yang membentuk Batalion Pertama dan Kedua Kedua Rejimen Askar Melayu Rejimen British 2nd Loyals dan Briged 44th Indian. 'C' Coy berserta Leftenan Adnan Saidi telah ditempatkan untuk mempertahankan Perkampungan Pasir Panjang. Mereka telah memberi tentangan yang hebat kepada Tentera Jepun sehingga tentera Jepun dari Divisyen Chrysanthemum yang terkenal kerana kehebatan serta kehandalan mereka berperang terpaksa berundur.

Pada tengah malam semalam, Leftenan Adnan telah diperintahkan oleh Kepten H.R. Rix untuk berpindah ke sebuah tapak pertahanan baru. Mereka telah bertahan di sebuah kilang memproses candu kepunyaan pemerintah British di kaki sebuah bukit di Pasir Panjang.

Seramai 42 orang anggota Batalion pertama dan Kedua Rejimen Askar Melayu bertahan di situ tanpa air, makanan serta bekalan senjata tambahan. Di dalam keadaan terdesak, Leftenan Adnan telah memerintah anak buahnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Dia tahu, jumlah tentera Jepun yang akan datang menyerang terlalu banyak jumlahnya dibandingkan dengan jumlah tentera di bawah pimpinannya.

Pada tengah hari 14 Februari, pihak tentera Jepun akhirnya menyerang Rejimen Askar Melayu yang sedang bertahan di Bukit Chandu. Sekumpulan anggota tentera Jepun yang menyamar sebagai anggota tentera Punjabi datang mendekati mereka. Sebelum sempat mereka dapat mendekati kawasan yang dipertahankan oleh 'C' Coy, Leftenan Adnan yang telah ditugaskan untuk mempertahankan bahagian utara kawasan tanah tinggi ini sudah dapat menghidu helah yang telah dilakukan oleh tentera Jepun. Tentera Punjabi itu dilihatnya sedang mara bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga. Leftenan Adnan yakin, apa yang dilihatnya itu adalah satu helah yang dilakukan oleh tentera Jepun, kerana pasukan tentera di bawah pimpinan British tidak mungkin akan melakukan kesilapan yang besar seperti yang dilihatnya pada ketika itu. Terus dia mengarahkan agar tembakan dilepaskan bertubi-tubi ke arah tentera Jepun yang sedang menyamar ini.

Seramai 20 anggota tentera Jepun telah mati serta cedera di dalam serangan ini. Perkara ini telah membuatkan tentera Jepun mengamuk, lantas membalas dengan serangan tembakan bertubi-tubi ke atas Rejimen Askar Melayu.

Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan berani sehingga titisan darah yang terakhir walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentera Jepun dengan menggunakan jumlah peluru yang terhad. Maka begitulah hendaknya semangat "Ta'at dan Setia" yang begitu kental di dalam jiwa mereka.

Tubuh Korporal Yaakob kaku tatkala dia berpura-pura mati di atas tubuh seorang rakannya yang telah mati ditembak pada bahagian lehernya. Korporal Yaakob dapat mencium bau hanyir darah yang masih mengalir hangat dari bahagian leher kawannya itu. Begitu meloyakan sehinggakan dia merasa seperti mahu muntah di situ juga. Sebelum Korporal Yaakob rebah di dalam kekalutan pertempuran tadi, dia dapat melihat Kapten Rix terbunuh bersama 12 orang tentera Melayu yang lain yang telah berjuang bermati-matian dengannya.

Kini, dari posisinya Korporal Yaakob dapat melihat keadaan Leftenan Adnan yang cedera parah diheret dan disepak terajang oleh tentera Jepun yang sedang marah menggila pada ketika itu. Mereka betul-betul ingin membalas dendam ke atas kematian rakan-rakan mereka yang telah mati ditembak oleh Leftenan Adnan serta anak-anak buahnya yang lain. Enam orang anggota tentera Melayu yang berjaya ditawan terus diikat, lantas ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun sehingga mati. Suara anggota tentera Melayu yang telah mengerang kesakitan di dalam saat-saat akhir hidup mereka terus berdengung di dalam kepala Korporal Yaakob. Dia tidak dapat melakukan apa-apa kecuali terus berpura-pura mati.


Tubuh Leftenan Adnan yang lemah itu kemudian diserkup dengan guni. Kakinya di gantung ke sebuah pokok ceri berdekatan dengan sebuah rumah banglo di Pepys Road. Kemudian, tanpa sebarang pertimbangan, tentera Jepun telah menikam tubuh Leftenan Adnan berkali-kali sehinggalah tubuhnya berhenti bergerak. Kaku. Titisan darah yang pekat mula membasahi kain guni yang menutupi tubuh Leftenan Adnan. Seorang pegawai tentera Jepun mengeluarkan balutan kain guni pada tubuh Leftenan Adnan. Dia mengambil pisaunya lalu leher Leftenan Adnan dikelar. Darahnya menitik dengan deras ke tanah.Pegawai tersebut lalu memerintahkan anak-anak buahnya supaya memberi amaran kepada penduduk-penduduk tempatan supaya jangan menyentuh mayat Leftenan Adnan juga mayat-mayat askar Melayu yang lain untuk dikebumikan. Jika tidak padah jadinya nanti!

Peristiwa Pertempuran di Bukit Chandu merupakan pertempuran terakhir sebelum Singapura akhirnya jatuh ke tangan Jepun. Pada 15 Februari 1942, Leftenan-Jeneral A.E Percival dari Pakatan Tentera British akhirnya menyerah kalah kepada Leftenan-Jeneral Yamashita Tomoyuki dari Tentera Imperial Jepun di bangunan Kilang Ford di Bukit Timah. Penyerahan Singapura kepada Jepun ini menandakan tamatlah ikatan Malaya dan khususnya Singapura kepada Kerajaan Britih yang telah memerintahnya selama lebih seabad lamanya sebelum ini.


Pada hari yang sama, bendera Union Jack diturunkan lantas bendera Matahari Terbit atau Hinomoru dikibarkan di sebatang tiang bendera berdekatan dengan bangunan Cathay, bangunan yang tertinggi di Singapura pada waktu itu.


Ketika Jepun mengambil alih Singapura, tahun 1942 telah ditukar menjadi tahun 2602 mengikut kalendar yang digunakan oleh Jepun. Jam-jam pula diubah agar mengikut masa yang sama di Tokyo.

Sejak dari hari itu, Singapura dinamakan mereka 'Shonan-to', Malaya pula 'Malai' atau 'Maraiee' dan Pulau Pinang pula 'Tojoto'. Maka kini bermulalah penjajahan Jepun ke atas bumi Malaya dan Singapura!

*Keberanian sera kepahlawanan Leftenan diakui sendiri oleh Empayar British dan juga Empayar Jepun, sehinggakan General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya menyatakan “jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun”

No comments:

Post a Comment