Sunday 24 November 2013

HUDUD di KELANTAN: DAP rayu PAS hentikan cadangan HUDUD dilaksana.

GEORGE TOWN: DAP merayu rakan sekutunya PAS agar tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.





Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

“Hudud mempunyai hukuman yang sangat serius. Hanya kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Deepavali anjuran pusat khidmat masyarakat, DAP Datuk Keramat di Taman Jajar pada Sabtu.

“Objektif politik tertakluk kepada undang-undang. Penasihat undang-undang kerajaan negeri Kelantan harus menasihatkan PAS agar tidak meneruskan cadangan melaksanakan hukum hudud,” katanya.

Beliau berkata DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong tindakan kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

“Sudah pasti, kita akan menyokong Kelantan melaksanakan undang-undang berlandaskan syariat Islam walaupun kerajaan negeri berhadapan dengan cabaran dan campur tangan daripada kerajaan Persekutuan.

“Tindakan kerajaan Persekutuan menggangu Kelantan (berhubung cadangan pelaksanaan hudud) menunjukkan mereka tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-59 pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan untuk melaksanakan enakmen yang dibentuk pada tahun 1993 bila-bila masa sekiranya kerajaan negeri itu mahu menguatkuasakannya.

No comments:

Post a Comment