Thursday 19 September 2013

Sejarah Pas permulaan dari UMNO


PAS Di Bawah Kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan (Ogos 1951 – Sept. 1953)

Sebelum memimpin PAS, Ahmad Fuad seorang guru agama (Ustaz) yang berasal dari Terengganu. Beliau lepasan Maahad Ihya AssyariffGunung Semanggol dan menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO.

Dan di waktu itu, beliau adalah merupakan Pengerusi Badan Agama UMNO. Tulisan beliau dalam Suara UMNO yang bertajuk “Ulama Malaya Belum Bersatu & Belum Mempunyai Organisasi” telah menarik perhatian umum.

Atas inisiatif beliau, akhirnya pada 15hb Ogos 1951, satu persidangan alim ulama telah berjaya di adakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan tuntutan tersebut serta merangka perlembagaannya. Seterusnya pada 24hb. November 1951, Muktamar Ulama Kali Ke-3 telah di adakan di Seberang Prai (Bangunan UMNO Bagan) dan persidangan ini telah berjaya menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya dan seterusnya ditukarkan kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) atas persetujuan ramai.

Menjelang persidangan tersebut, UMNO sedang bergolak - menghadapi krisis kepimpinan dan perpecahan mengenai isu kewarganegaraan dan penyertaan orang bukan Melayu di dalam UMNO yang dicadangkan oleh Datuk Onn Jaafar. Datuk Onn telah mengambil jalan dengan keluar daripada UMNO apabila gagasan yang dicadangkannya itu telah ditolak oleh UMNO. Tuan Haji Ahmad Fuad yang berasal daripada Terengganu telah dicalonkan sebagai Yang Dipertua Agung UMNO bagi menentang Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Sungguh pun kecenderungan masyarakat pada masa itu ada bersama-sama Islam, namun kepimpinan UMNO dapat kepada Tunku Abdul Rahman. 

Penubuhan PAS – yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad  telah mendapat sokongan daripada rakyat khasnya masyarakat Melayu ketika itu. Majalah Qalam yang diterbitkan di Singapura ketika itu telah menyuarakan harapan agar PAS dapat mempertahankan hak dan kemuliaan agama sama ada dalam perkara siasah/politik mahupun hal ehwal umum.

A.Samad Said dalam satu tulisannya pernah menyebut bahawa penubuhan PAS (yang diilhamkan oleh Tuan Haji Ahmad Fuad) pada tahun 1951 adalah agak menarik. Pertama kata A.Samad Said, PAS berjaya ditubuhkan walaupun suasana negara ketika itu sedang dilanda pergolakan dan gelora darurat Dan kedua, penubuhan PAS ketika itu telah direstui sendiri oleh UMNO.

Akhbar-akhbar terkemuka ketika itu juga turut mengalu-alukan penubuhan PAS. Walaupun berlaku perdebatan mengenai baik buruknya golongan ulama menubuhkan sebuah parti politik Islam daripada hanya sekadar menubuhkan sebuah pertubuhan yang terkhusus kepada golongan ulama sahaja, namun fikiran umum ketika itu lebih cenderung mendorong ulama menubuhkan sebuah parti Islam yang bercorak politik dalam mengisi kekosongan untuk menuntut kemerdekaan negara.


Di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad, PAS telah mula berkembang. Terdapat beberapa cawangan PAS yang berjaya ditubuhkan – antaranya termasuklah cawangan pertama, iaitu Butterworth pada 9hb. Mac 1952, Kuala Kangsar (10hb. April 1952), Perlis (2hb. Mei 1952), Kerian (6hb. Julai 1952) dan Kuala Lumpur – Selangor (13hb. Julai 1952). Sehingga Disember 1952 sahaja, PAS telah berjaya menubuhkan 16 buah cawangan di seluruh Malaya dan Singapura. 

Cawangan pertama PAS di kawasan Pantai Timur juga telah ditubuhkan di zaman kepimpinan beliau. Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim telah berjaya menubuhkan cawangan PAS di Pasir Mas pada 23hb. Julai 1953.

Pada 4hb. Januari 1953, PAS telah mengadakan satu persidangan di Kepala Batas, Seberang Perai bagi membincang dan  menetapkan arah tuju perjuangan politiknya. 

Pada 26hb. Ogos 1953, Muktamar Agung PAS Kali Ke-2 telah diadakan di Madrasatul Ulum, Bagan Datuk, Perak. Dalam muktamar tersebut, Tuan Haji Ahmad Fuad sekali lagi telah diberi mandat oleh lebih 600 ahli untuk terus memimpin PAS. 

Di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad juga,  PAS telah dijemput untuk menghadiri dua persidangan yang dianggap penting pada negara ketika itu, iaitu persidangan yang dikenali sebagai National Conference yang ditaja oleh Datuk Onn Jaafar  bersama tujuh orang Menteri Besar dan National Convention yang ditaja oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj (UMNO – MCA).

Tujuan persidangan ini diadakan ialah untuk menyelaraskan usaha bagi mencapai kemerdekaan negara serta mencari satu formula dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit seperti status kerakyatan, hak untuk mengundi dan sebagainya.

Ekoran daripada itu, satu Mesyuarat Agung Khas PAS telah diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 23hb. September 1953 bagi menentukan sikap PAS dalam menghadapi kehendak-kehendak Ahli Jawatankuasa Agung pada masa itu yang berbeza-beza di antara yang menyokong National Convention dengan yang menyokong National Conference.

Hasil daripada mesyuarat tersebut, PAS telah menerima saranan yang dikemukakan oleh PAS Pasir Mas menerusi wakilnya Amaluddin Darus. Cadangan PAS Pasir Mas itu ialah mengambil sikap menyokong National Convention,  tetapi tidak terikat kepadanya sekiranya langkah-langkah National Convention itu pada pendapat PAS akan merugikan bangsa Melayu amnya dan umat Islam khasnya. PAS telah menolak gagasan yang ditaja oleh Datuk Onn itu kerana pada pandangan PAS ia mengiktiraf kerakyatan dan persamaan hak bagi seluruh kaum yang ada di negara ini pada waktu itu.

Dengan itu, PAS bertegas tidak akan menyertai persidangan National Conference yang ditaja oleh Datuk Onn, tetapi akan menghadiri dan menyatakan pendapat di dalam persidangan National Convention yang ditaja oleh UMNO-MCA (Tunku Abdul Rahman).

Mesyuarat Agung Khas pada 23hb. September 1953 itu juga telah bersetuju untuk membebaskan PAS daripada dipengaruhi oleh mana-mana unsur/pihak – mengekalkan PAS sebagai sebuah organisasi yang bebas dan berdikari. Dengan itu, undang-undang tubuh PAS telah dicadangkan supaya dipinda bagi menentukan tidak ada orang yang menjadi anggota parti politik lain dibolehkan untuk dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS atau pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan PAS.

Semasa di bawah kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, PAS masih berada pada tahap lemah dan kekurangan dari segenap segi. Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan adalah merupakan rakan dan penyokong kuat kepada Datuk Onn Jaafar. Krisis UMNO-IMP (Independence of Malaya Party) sedikit sebanyak telah menjejaskan kepimpinan beliau di dalam PAS. Percubaan beliau untuk membawa PAS bekerjasama dengan IMP telah ditolak oleh ahlinya - menyebabkan kepimpinan beliau telah mula dipersoalkan dan dengan demikian juga telah memberi kesan terhadap perjuangan politik PAS.

PAS ketika itu juga telah diibaratkan seakan-akan ‘pucuk ru atau daun lalang’ yang sedia rebah ke mana sahaja angin bertiup.

 Ekoran kegagalan beliau membawa PAS untuk bersama-sama dengan IMP pimpinan Datuk Onn Jaafar, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan telah meninggalkan perjuangan politik PAS secara rasmi pada 26hb. September 1953 - seterusnya beliau menyertai IMP dan Parti Negara apabila IMP dibubarkan.

No comments:

Post a Comment